loading

Apa Itu Polio ?

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.

Apakah Status Penyakit Polio Di Malaysia ?

Kes polio terakhir di Malaysia adalah pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, pada 6 Disember 2019, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio.

Adakah negara Kita Berisiko Untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio ?

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit polio. Sekiranya terdapat pengembara yang dijangkiti virus polio dari negara terbabit masuk ke kawasan di negara ini yang ramai ahli masyarakatnya tidak mendapatkan imunisasi polio, maka risiko virus ini merebak adalah tinggi. Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor.

Siapakah Yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio ?

Individu yang tiada sejarah pelalian polio lengkap adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;

  • Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas mengendalikan kes dijangkiti polio buang air besar termasuk selepas menukar lampinnya.
  • Tidak menggunakan bekalan air bersih.
  • Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  • Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
  • Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
  • Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Bagaimana Cara Mencegah Penyakit Polio

Cara terbaik untuk melindungi diri daripada jangkitan polio adalah dengan mendapatkan vaksin polio. Di Malaysia, vaksin polio diberi sebanyak empat (4) dos secara kombinasi bersama vaksin difteria, pertussis, tetanus dan Haemophilus influenzae type b (Hib) kepada kanak-kanak yang berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Vaksin ini diberi secara percuma untuk warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan caj minima dikenakan bagi bukan warganegara.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Sumber : infosihat.gov.my

Write a Reply or Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *